Kematangan rakyat penentu masa depan negara

at Isnin, 15 April 2013 [ 9:23 PTG ]

Pilihan raya adalah satu atur cara penting dalam satu majlis demokrasi. Ia ditempatkan pada kedudukan yang tertinggi apabila menjadi kayu ukur kepada tahap penghayatan demokrasi yang berintikan daripada rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat. Pada hari berlangsungnya pilihan raya, rakyatlah yang dirujuk untuk menentukan hala tuju negara. Rakyat juga berperanan ketika itu sebagai tuan kepada negara yang sudah pastinya mahukan sebuah negara yang berpihak kepada rakyat.

Pilihan raya adalah hari kebesaran rakyat (Siddiq Fadzil, 2013). Pada hari itu nanti, suara rakyat adalah suara yang terpenting. Walau hanya dengan satu pangkah di kertas undi, ia menjadi amat berharga apatah lagi dalam sistem pilihan raya kita yang mengenakan peraturan first pass the post. Suara rakyat ialah suara kesaksian kepada sebuah kerajaan yang akan dibentuk selepas itu. Rakyat berkewajipan menjadi saksi dan tidak ada ruang untuk melarikan diri daripada menjadi saksi.

Suara keramat rakyat

Ketika inilah suara rakyat menjadi suara keramat. Suara yang akan diterjemahkan kepada suara harapan dan permintaan, suara impian dan cita-cita. Suara ini terbit daripada dhamir yang terdalam. Jika undi itu datang daripada seorang pengundi yang telah berusia, ia adalah suara harapan untuk generasi penerus. Suara yang mahukan jaminan terhadap kegemilangan masa depan. Jika undi daripada seorang pengundi muda atau pengundi kali pertama ia mengundi demi sebuah cita-cita yang akan dikejar dan direalisasikan di persada kehidupan. Jika ia datang daripada pengundi pertengahan usia, ia adalah undi permintaan untuk pembaikan keadaan yang sedia ada.

Maka inilah erti sekeping undi yang menuntut terjemahan dalam sebuah kerajaan yang akan dibentuk. Terjemahannya akan dinilai setelah tamat tempoh mandatnya nanti.

Bagi menjamin sebuah kesaksian yang jujur dan tulen, syarat kesaksian mesti dipenuhi. Antara syaratnya ialah berakal. Syarat berakal bagi seorang mukallaf adalah syarat wajib bagi seorang saksi yang perlu dipenuhi. Wahbah Zuhailiy menyatakan orang yang berakal mesti mampu untuk menggunakan akalnya. Akalnya berupaya memahami tuntutan syariat ke atas dirinya.

Oleh yang demikian pencerdasan rakyat amat penting dalam proses demokrasi berpilihan raya. Rakyat mesti mengetahui fungsi dan peranannya. Rakyat mesti mempunyai maklumat yang cukup dan sahih sebelum membuat pertimbangan dan seterusnya memilih. Jika tidak ia umpama mengajukan kepada si buta tentang kecantikan sekuntum bunga, atau bertanya kepada si pekak kemerduan kicauan burung.

Kebolehan membuat keputusan

Proses pencerdasan memerlukan sikap yang objektif dan menyingkirkan sebarang sentimen yang melulu. Ini bagi memastikan rasional berada pada tempatnya. Jangan kita jadi manusia serba sebelah dari telinga hinggalah ke kaki. Ia mencacatkan kebolehan akal fikiran manusia yang telah dikurniakan kebolehan untuk membanding beza, menilai dan membuat keputusan.

Sikap menuduh pesaing sebagai pengeliru perlu ada batasnya. Ia disempadani dengan fitnah dan pembohongan. Setiap fitnah dan pembohongan seharusnya menurunkan merit kewibawaan kepemimpinan. Pemimpin yang berbohong ialah pemimpin yang tidak selayaknya menerima kepercayaan daripada rakyat. Pembohongan dan pemfitnahan adalah satu jenayah terhadap kemampuan berfikir rakyat yang sekali gus adalah usaha membodohkan rakyat.

Sesuatu pilihan hanya akan bererti apabila pilihan itu mendapat ruang yang serupa untuk terangkat pada medan yang sama. Pilihan akan kehilangan erti sebuah pilihan apabila hak untuk mendapat ruang yang sama dinafikan. Jika segala ruang pengangkatan pilihan ditutup dengan segala macam peraturan dan ditokok dengan seribu satu penipuan, maka pilihan bertukar kepada paksaan.

Suasana politik baru

Bukanlah sebuah pilihan raya jika hanya satu pihak sahaja yang boleh menang dan dipastikan menang. Jika ada yang bertanya kenapa latar politik hari ini berbeza daripada hari lampau, maka jawapannya, ini adalah politik baru. Politik yang terhimbau daripada ledakan maklumat yang menyerbu masuk menerusi muntahan teknologi maklumat dan komunikasi.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan pilihan raya kali ini adalah pilihan raya rakyat. Suara rakyat yang terangkat adalah suara dhamir yang tulus dan suci bukan daripada kabur debu keliru. Justeru, kita mengutuk segala usaha untuk menafikan pengangkatan ini dengan kekerasan dan segala tindakan di luar tamadun manusiawi.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.