SPR: Kempen secara sihat, elak emosi serta sentimen

at Isnin, 15 April 2013 [ 10:20 PTG ]

Abdul Aziz Mohd YusofKUALA LUMPUR - Dengan bahang Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hangat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi meminta parti-parti politik yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan mematuhi undang-undang pilihan raya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin jika ia dilaksanakan, pilihan raya umum kali ini dapat dijalankan dengan lancar  dan dalam keadaan baik.

"Kalau itu dipatuhi oleh semua pemimpin politik, saya fikir tidak apa jika kempen panas atau getir tetapi ia sihat...itu sangat penting," katanya pada temu bual 'Dalam Radar' kelolaan Bernama Radio24 di Wisma Bernama di sini.

Sambil mengingatkan semua pihak bahawa pilihan raya umum diadakan sekali dalam masa lima tahun, beliau berharap  mereka tidak terlalu emosional dan membangkitkan sentimen semasa kempen.

"Bertandinglah dengan sihat, ikut peraturan-peraturan jika nak berkempen," katanya.

Rabu lepas, SPR mengumumkan hari penamaan calon pada Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan 5 Mei.

Dalam pada  itu, Abdul Aziz berharap semua pihak berkenaan dapat memberikan kerjasama baik kepada SPR dan pihak berkuasa pada pilihan raya umum kali ini termasuk tidak membawa penyokong terlalu ramai pada hari penamaan calon.

"Kita kena ubah budaya ini. Saya mohon kerjasama sebab di bawah undang-undang, saya tidak ada kuasa menegah mereka tetapi  saya pohon mereka jangan  datang terlalu ramai kerana ia menyusahkan pihak berkuasa dan orang ramai," katanya.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkannya pada 14 perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin parti politik sebelum ini.

Mengenai dakwaan segelintir pihak berhubung kertas undi bernombor, beliau berkata perkara itu tidak berlaku dan menjamin undi adalah 100 peratus rahsia.

Ditanya sama ada kertas undi boleh dianggap sah jika dakwat kekal tertumpah ke atasnya, Abdul Aziz berkata jika perkara itu  berlaku, pengundi boleh memohon kertas undi baharu daripada pegawai pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak mungkin berlaku kerana dakwat kekal itu boleh kering di jari dalam tempoh tiga saat.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.