Siti Zailah: Wanita perlu diberi ruang lebih besar

at Selasa, 23 April 2013 [ 10:52 PTG ]

Profil

Nama     : Siti Zailah Mohd Yusoff
Umur     : 45 tahun
Jawatan : Ahli Parlimen Rantau Panjang (P023)
Jawatan dalam parti: Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Pengalaman: Pegawai Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan dan dilantik Senator antara 2000 dan 2006, Timbalan Pengelola Dakwah Halaqa peringkat negeri Kelantan.
Pendidikan: Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM)
Anak: 10 orang

MEMPUNYAI cita-cita untuk melihat golongan wanita berilmu, terbela, dan tidak didiskriminasi, beliau sering turun padang bertemu masyarakat di kawasannya tanpa mengira siang atau mahupun malam. Siti Zailah Mohd Yusof yang lebih mesra dipanggil Kak Lah adalah orang yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat di Rantau Panjang. Biarpun menggalas tanggungjawab besar mendidik dan membersarkan 10 anak, beliau tetap mampu memberi khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasannya.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin dan jurugambar Wira Andika dengan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan mengenai hala tuju pembangunan wanita dan Malaysia.

Saya sudah terbabit dalam politik sejak lebih 20 tahun lalu sehingga dilantik sebagai Senator untuk dua penggal iaitu dari 2000 hingga 2006 dan seterusnya diberi kepercayaan bertanding pada pilihan raya umum 2008.

Selain itu pernah berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan selama enam tahun dan yang terkahir sebelum dilantik Senator ialah Timbalan Pengelola Dakwah Halaqa Peringkat Negeri Kelantan yang mengendalikan 2,700 pegawai dakwah di seluruh negeri.

Saya terbabit dengan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan sejak 1986 hingga sekarang dan kini dilantik pula sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

YB adalah seorang ibu kepada 10 anak dan tujuh cucu dan aktif sebagai seorang ahli politik, jadi bagaimana YB menguruskan hal ehwal keluarga dan rumah tangga?

Saya sebenarnya mempunyai 12 anak tetapi dua sudah meninggal dunia sejak kecil lagi. Saya tidak mempunyai pembantu rumah (tersenyum). Saya selalu ditanya soalan ini sebab orang selalu terkejut, jarang orang yang ada anak ramai terbabit aktif dalam politik.

Cara saya mengurus masa yang pertama ialah dengan kerjasama. Saya menyusun tugasan anak-anakk. Sejak mereka kecil lagi mereka diajar berdikari. Jangan harap semua ibu yang kena buat. Contohnya kalau gosok baju, saya ajar anak saya menggosok sendiri baju mereka. Jadi, anak saya yang Tahun Dua dan Tahun Tiga sudah pandai gosok baju sendiri. Kalau masak, saya memang ajar anak sulung dan anak kedua memasak. Jadi mereka sekarang bergilir mengatur jadual masing-masing. Di rumah, kita memang ada jadual. Contohnya, kalau Ahad, anak sulung akan tolong di dapur, anak kedua tolong jemur kain, anak ketiga tolong sapu sampah, anak keempat kemas laman rumah. Kemudian esoknya saya tukar jadual. Orang lain pula buat kerja berbeza supaya mereka tidak jemu. Lama-lama mereka sudah biasa.

Mungkin YB seorang ibu yang garang dan tegas di rumah.

Tak garang juga (senyum). Kita beritahu mereka dengan cara yang baik. Dan tiap kali saya buat kerja dengan anak saya akn ingatkan buat kerja tu kerana Allah. Ikhlas. Suami juga banyak membantu. Dia seorang guru dan beliau baru saja bersara. Antara sekolahnya dan rumah memang tak jauh. Kalau saya di Parlimen, suamilah yang banyak membantu kerja seperti menghantar anak ke sekolah. Lagipun, rumah saya sekarang ini dikelilingi keluarga, anak saudara, kakak dan mereka turut membantu jika saya ada tugas luar yang perlu diselesaikan.

Bagaimana YB boleh berminat dengan politik?

Pembabitan saya dengan jemaah Islam, parti Islam bermula sejak zaman sekolah. Keluarga saya juga menjadi pendokong kuat parti, ketika menjadi pelajar saya banyak mengikuti program usrah, kemudian menjadi pimpinan pelajar, pengerusi persatuan pelajar, jadi kita dapat melihat suasana yang berlaku.

Setelah tamat pengajian, saya berdamping dengan masyarakat dan kemudian dipilih memegang jawatan dalam Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan.

Apabila seseorang itu bergiat dalam bidang politik sudah tentu dia mempunyai prinsip yang dipegang. Bagaimana dengan YB?

Yang paling penting kerja yang kita buat mesti ikhlas dan mesti istiqamah. Apa yang dilakukan mesti dibuat dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin. Contohnya kalau kita berdakwah, kita mesti berdakwah dengan sepenuh hati dan kasih sayang.

Saya sendiri tak terfikir untuk menjadi wakil rakyat. Apa yang saya buat, pembabitan dalam parti dan jemaah atas dasar percaya dan sayangkan Islam. Saya ingin lihat rakyat kita, terutama orang Islam dapat berpegang, memperbaiki diri untuk kembali kepada cara hidup Islam. Kita nak lihat apa yang kita lakukan ini adalah satu tanggungjawab Amar Maaruf Nahi Mungkar.

Siapa yang menjadi idola atau inspirasi YB untuk bergiat dalam politik?

Yang menjadi idola saya ialah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sendiri. Beliau menjadi idola saya untuk terus berkhidmat dan menceburkan diri dalam politik. Kenapa beliau? Saya melihat kepada kesungguhan beliau sendiri yang sangat konsisten berjuang menyampaikan mesej dan dakwah kepada masyarakat. Dan sebelum ini, saya juga dibimbing beberapa pimpinan muslimat sebelum ini seperti Ketua Dewan Muslimat Kelantan, Hajjah Wan Hasmah, Ustazah Jamilah (bekas Senator). Apabila melihat mereka berjuang membela nasib masyarakat, saya terpanggil untuk menyambung perjuangan itu.

Pakatan Rakyat sudah menjadi satu kuasa yang mampu menggugat BN.  Bagaimana dengan hubungan antara wanita Pakatan Rakyat?

Sehingga hari ini, hubungan antara wanita Pakatan Rakyat amat baik. Kebetulan pula, ketiga-tiga kami adalah tunggak dalam parti masing-masing. YB Chong Eng, YB Zuraidah dan saya adalah Ahli Parlimen. Kami sentiasa bersama terutamanya kalau ada persidangan Dewan Rakyat.

Kalau ada sesuatu yang penting atau apa saja untuk dibincang, kami mudah bertemu. Kadang-kadang kami berbincang di dewan, di bilik pembangkang, ada masa kadang-kadang dalam parlimen pun kami boleh berbincang (senyum). Hubungann kami sangat erat. Setakat ini Alhamdulillah, apa sahaja isu yang berbangkit di kalangan kami, kami selalu berbincang.

Apa masalah utama dalam Wanita Pakatan Rakyat yang mungkin wujud?

Antara masalahnya adalah untuk memberi pemahaman dan kesedaran terhadap ahli masing-masing. Sebab kita seperti sedia maklum, mempunyai latar belakang parti yang berbeza. Walau apapun, kita punya kesepakatan. Dasar bersama. Semua kami berjuang untuk menegakkan keadilan, tidak mahu kerosakan pada negara.

Kita ada dasar bersama yang dipersetujui. Tetapi dalam kita nak beri kesedaran, kefahaman kepada ahli di akar umbi; kadang-kadang ada kalangan mereka melihat sesuatu dalam konteks yang berbeza. Jadi dalam keadaan itu ia menjadikan sesetengah ahli tidak faham.
Bagi kami, pimpinan. Kami melihat jauh. Kami melihat masa depan dan nasib rakyat dalam negara ini.

Bagaimana pula YB melihat peranan golongan wanita dalam politik Malaysia sekarang.

Sebenarnya peranan wanita dalam politik bukan untuk menjadi saingan kepada golongan lelaki. Dalam politik, golongan wanita berperanan menyuarakan hak mereka. Bukan bermaksud kita tidak percaya lelaki bela hak wanita tetapi wanita lebih memahami hak mereka sendiri. Banyak isu wanita yang tak terfikir oleh lelaki kerana mereka tidak berada di tempat kami. Misalnya isu berkaitan kebajikan wanita, jadual waktu kerja, sistem sokongan, sebab sebagai seorang wanita terutamanya ibu, mereka pada masa yang sama sebagai pekerja, pemimpin. Golongan wanita ini perlu kepada satu sistem sokongan yang mesra gender.

Mungkin golongan lelaki tak memahami. Wanita dia perlukan waktu rehat, dia juga perlukan hubungan yang rapat dengan anak. Dia mungkin tidak selesa bekerja jika hatinya risau terhadap keselamatan anak-anak. Sebab itu kita perlukan satu dasar, satu sistem sokongan yang mantap kepada wanita.

Agenda Wanita Malaysia

Kita wanita Pakatan Rakyat dalam Agenda Wanita Malaysia telah mengemukakan cadangan antaranya nurseri, pusat asuhan dan jagaan anak di semua jabatan kerajaan seluruh negara.  Saya lihat ianya sudah jadi satu keperluan asas bagi wanita bekerja yang mana ia beri ruang kepada wanita yang bekerja memberi sumbangan kepada negara.

Begitu juga dengan jadual waktu kerja yang anjal. Kadang-kadang seperti anak, bayi yang baru lahir. Kadang-kadang kita nak tinggalkan mereka untuk pergi kerja tanpa selesaikan makan minum mereka dan persalinan mereka, itu akan buatkan mereka dan kita tidak selesa. Kita perlu beri kelonggaran bagi ibu yang mempunyai anak kecil untuk masuk lewat sedikit ke tempat kerja. Tetapi mereka perlu pulang lewat sedikit.

Bagaimana pendapat YB mengenai perjuangan hak saksama antara lelaki dan wanita dalam konteks Malaysia.

Bagi saya, kesaksamaaan yang kita mahu adalah bukan seperti di barat. Paling penting adalah hak wanita dibela dan terbela. Tiada diskriminasi. Contohnya dari sudut pendidikan, kesihatan, dan sosial. Hak saksama maksudnya jangan wanita dipinggirkan.

Dari sudut politik pula, kita mahu sekurang-kurangnya 30 peratus suara wanita di peringkat penggubal dasar, atau dari sudut guna tenaga wanita. Kalau kita lihat sekarang, wanita adalah majoriti yang berada di institusi pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta, ini memberi makna, kemahiran wanita lebih banyak daripada lelaki. Tapi dari sudut peluang pekerjaan, ada di antara mereka tidak diberi peluang walaupun berkelayakan. Ini adalah ketidakadilan dan diskriminasi yang berlaku. Kami mahu wanita diberi hak supaya mereka juga dapat bersama memberi sumbangan kepada negara.

Minta pandangan YB terhadap banyak kes di mahkamah syariah terutamanya membabitkan kes perceraian yang lama tertangguh.

Ya. Banyak kita dengar mengenai kes seperti ini. Bagi saya ia juga satu penderaan dan ketidakadilan terhadap wanita. Sebab, sudahlah mereka berhadapan dengan krisis rumah tangga, berdepan dengan tekanan hidup, dengan anak dan suami mereka yang tidak bertanggungjawab. Kadang-kadang kes gantung tak bertali bertahun-tahun. Inilah yang menjadi isu dalam negara. Sebab itulah system perundangan dalam mahkamah syariah perlu diperkemaskan. Kita mahu lihat wujudnya sistem yang mesra wanita.
Isu yang membabitkan kekeluargaan ini perlu ditangani dengan segera. Misalnya tak cukup kakitangan maka ia perlu ditambah.

Mungkin sebab hakim di mahkamah syariah kebanyakkannya lelaki memungkinkan wujudnya pemikiran skeptikal terhadap wanita. Selain lelaki, adakah YB bersetuju hakim di mahkamah syariah dilantik di kalangan wanita.

Ya. Saya setuju. Dalam mengadili kes yang membabitkan wanita, perlu hakim di kalangan wanita sebab wanita boleh mempunyai pandangan mungkin daripada sudut berbeza berbanding hakim lelaki. Dan ini lebih memberi keadilan terhadap wanita.

Sebagai seorang yang lama berkhidmat untuk parti, apa pandangan YB terhadap ciri-ciri calon yang diperlukan dalam pilihan raya?

Yang pertama ialah, kita nak calon yang berkemampuan dan berkelayakan samada lelaki atau wanita dan dia boleh memberi khidmat yang cemerlang, menjadi suara kepada rakyat dan kepada pengundi yang memilihnya. Jadi kalau dia hebat bercakap di dalam dewan tapi dia tidak mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, ini adalah satu kecacatan. Kita mau lihat dia bukan saja bijak dalam akademik tetapi mempunya ketrampilan, kekuatan diri yang boleh menjadi contoh dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Bagaimana  dengan khidmat yang diberi YB sendiri di Rantau Panjang?

Di kawasan yang saya wakili. Sejak dari awal hingga sekarang, saya akan turun setiap hari kecuali ketika sidang Parlimen atau urusan di luar kawasan. Secara peribadi, saya menganggap rakyat macam keluarga. Memang hubungan saya dengan masyarakat terlalu rapat. Setakat ini rumah yang saya ziarahi sendiri secara peribadi sudah lebih 4,000 rumah. Memang orang lelaki pun terkejut (senyum). Saya buat kerja sepanjang tempoh empat tahun ini tak berhenti.

Apa masalah utama di kawasan YB?

Di sana, lebih 70 peratus daripada mereka adalah petani, penoreh getah dan mereka boleh dikategori berpendapatan rendah, orang miskin. Biasanya sebelum turun rumah ke rumah, saya akan solat subuh di surau masjid bersama suami, kemudian turun bersama masyarakat biasanya pada hari cuti. Kemudian akan bersarapan pagi di warung sebelum menziarah.
Saya biasanya akan bertemu ketua kampung dan bertanyakan siapa di kampung itu yang susah, sakit, mana rumah ibu tunggal yang saya terlepas pandang dan rumah anak yatim. Biasanya saya akan bawa bersama bekalan makanan untuk mereka. Kalau berlaku kematian, semua kematian saya akan ziarah kecuali tidak dapat maklumat mengenainya. Termasuklah mereka yang bersalin, sakit di hospital saya akan ziarah tanpa mengira siapa mereka tanpa mengira parti dan perbezaan fahaman politik .

Respon orang ramai terhadap khidmat YB?

Apa yang saya dengar dan terima, kalangan ahli UMNO mengakui, perkhidmatan yang kita berikan dan hubungan yang rapat, mereka memberi keyakinan untuk mengundi kita, PAS pada pilihan raya umum akan datang. Ada satu keluarga tu enam ahli keluarga yang mengundi, dia kata memang sebelum ni dia undi BN, tetapi kali ini dia akan undi PAS kerana kita selalu memberi perkhidmatan dan menziarah.

Tahun lalu ketika saya menziarah rumah ke rumah, dari situ kita tahu latar belakang keluarga, siapa yang sakit, susah. Ketika menziarah ke sebuah rumah kaum Siam, dia ibu tunggal, menangis dia waktu tu. Dia tak sangka kita wakil rakyat perempuan sanggup datang rumah dia malam-malam selepas Isyak.

Selepas jam 12 malam, biasanya saya bersama suami akan turun ke pusat kawalan kampung Skim Rondaan Sukarela (SRS), kita agihkan biskut dan minuman buat mereka. Pernah satu ketika sehingga jam empat pagi.

Ada pendapat yang mengatakan ramai kalangan wanita pro kepada BN.

Saya melihat pertamanya golongan wanita mudah terpengaruh dengan media terutamanya televisyen. Mungkin kerana ramai juga di kalangan mereka suri rumah. Tidak ramai juga yang suka mengikuti majlis ceramah dan penerangan berbanding lelaki. Orang lelaki mungkin lebih peka dan tak berapa nak kisah dengan televisyen.

Orang perempuan ada yang mudah dipengaruh dengan duit. Kalau di kampung kita biasa dengar, duit RM50 pun boleh beli undi. Kalau di sabah, Sarawak, kain batik sehelai, gula dua kilo pun boleh beli undi. Faktor kesusahan dan kemiskinan semua itu satu hal yang lain.
Sebab itu kita PR, nak lahirkan wanita Malaysia yang ada jati diri. Yang bermaklumat dan celik politik dan bukan boleh dibeli dengan harga yang murah.

Pendekatan yang digunakan YB sendiri mendekati golongan wanita terutamanya yang tidak bersama PR.

Bagi saya, kita kena dekati mereka, selalu mendampingi mereka, kena kenali mereka dengan kasih sayang dengan cara jalinkan hubungan baik seperti program ziarah. Yang penting adalah keikhlasan kita memberi khidmat pada saat yang diperlukan. Lama-kelamaan mereka sendiri akan terfikir.

Sebenarnya, yang masih menyokong BN ini ramai yang tidak mendapat maklumat yang cukup dan benar. Mereka tidak tahu. Mereka hanya dengar dan tengok televisyen dan media arus perdana yang lain.

Harapan YB kepada wanita muda yang boleh menyumbang kepada kemenangan PR pada PRU-13.

Peranan generasi muda wanita sangat besar. Mereka adalah pelapis dan pemimpin masa depan. Harapan saya agar merekalah yang menjadi pemangkin perubahan. Menjadi suara perubahan kepada Malaysia. Mereka boleh gunakan media baru untuk meluaskan penerangan kepada masyarakat mengenai agenda yang diperjuangkan PR, apa masalah rakyat, ke mana negara hendak dibawa. Kita tidak mahu lihat ‘sogokan’ RM250 akan menyebabkan mereka terbeli. Kita harus melihat jauh ke depan, apa akan berlaku 50 tahun akan datang kepada negara dan masa depan kita. – Roketkini.com

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.