Mahalnya Wang Hantaran!

at Khamis, 2 Mei 2013 [ 7:24 PTG ]

RAMAI pasangan gagal meneruskan perkahwinan hingga bercerai-berai kerana menghadapi tekanan emosi. Antaranya, akibat masalah tidak cukup wang belanja selepas hidup berpasangan atau setelah mempunyai cahaya mata.

Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes sedemikian banyak berlaku kepada pasangan yang membuat pinjaman peribadi dengan bank atau institusi kewangan. Bahkan ada yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) bagi menyediakan wang hantaran dan kos kenduri.

“Ramai datang ke klinik kaunseling saya mengadu tertekan sebab terpaksa membayar hutang ketika melangsungkan majlis perkahwinan. Sedangkan perbelanjaan harian berubah bila dah hidup berdua dan beranak-pinak. Peringkat awal semua nampak manis. Cinta masih baru. Tak nampak kesan. Lepas berbulan atau setahun dua, pasangan itu akan rasa kesannya. Gaji tidak seberapa tapi hutang yang beribu kena bayar setiap bulan. Bayangkan kalau individu baru tamat universiti berkahwin secara berhutang,” ujar beliau.

Hushim menambah, sedia maklum pasangan baru tamat pengajian jika makan gaji tidak akan terus menerus menerima gaji lumayan. Selepas berkahwin banyak belanja hendak guna seperti duit sewa rumah, bil air dan elektrik, peralatan serta makan minum. Perbelanjaan makin bertambah setelah pasangan mendapat anak.

“Tapi gaji suami atau isteri dipotong setiap bulan sebab nak bayar hutang. Mungkin juga tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau sesetengah tu tolak hutang belajar. Secara psikologi bila tak cukup duit, biasanya pasangan saling mempertikai dan mengaitkannya dengan hutang wang hantaran dan belanja kahwin dulu,” jelas Hushim.

Tambahnya, akibat pertengkaran tidak berkesudahan, emosi pasangan terganggu serta tertekan. Mereka mula memikirkan semula diri pasangan hingga ada beranggapan tidak mengenali pasangan yang sudah dinikahi. Dalam erti kata lain ungkit mengungkit.

Bila bertengkar, macam-macam perkataan disebut. Terkeluar sifat sebenar pasangan. Bergaduh setiap masa. Ketika inilah mereka terlupa soal cinta. Dah tak kenal cinta. Cinta jadi retorik semata-mata. Daripada cinta terbalik jadi benci. Masalah akan lebih teruk dan tidak berkesudahan kalau ada yang masuk campur keluarga kedua-dua pihak. Tapi tidak mampu menyelesaikan konflik. Kepada pasangan yang gagal mencapai persefahaman kebiasaannya mengambil keputusan bercerai.

“Ada kes seorang pensyarah buat kenduri kahwin besar-besaran. Tapi bercerai selepas 15 hari. Bila lalui kaunseling, puncanya sebab bertengkar dan ungkit mengungkit wang hantaran serta belanja kenduri. Waktu bersanding hanya ingat yang indah-indah. Tapi lepas selesai majlis, baru sedar terlalu banyak guna duit. Lalu saling menyalahkan sesama sendiri dan mula fikir tak sefahaman. Akhirnya bercerai,” akhiri beliau. - sinarharian

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.