Khairy Jamaluddin dambakan dilantik sebagai Menteri

at Selasa, 14 Mei 2013 [ 5:39 PTG ]

Serba janggal dan serba menakjubkan apabila Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara tidak semena-mena telah menawarkan dirinya untuk dilantik sebagai Menteri dalam kabinet baru Najib Abdul Razak.

Seolah-olah amat berbangga dengan kemenangan besar yang diperolehinya di Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjadikan kemenangan tersebut sebagai tiket untuknya bergelar Ahli Kabinet pula, terutama selepas sepanjang penggal 2008-2013, Khairy Jamaluddin hanya mampu menjawat jawatan Pengerusi sebuah agensi yang entah apa fungsinya.

Wajarkah Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu menawarkan dirinya untuk menjadi Menteri?

Persoalan itu sekarang ini sedang dibahaskan dengan penuh meriah. Terlalu ramai yang kontra berbanding yang pro kepada hajat dan niat Khairy Jamaluddin.

Yang paling kerap ditimbulkan ialah, sejauh manakah kejayaan Pemuda UMNO Malaysia di bawah Khairy Jamaluddin sehingga dia perlu dilantik sebagai Menteri? Adakah Pergerakan Pemuda UMNO di bawah Khairy benar-benar berfungsi untuk berkempen dan memenangkan calon-calon Barisan Nasional, khususnya UMNO di semua tempat?

Atau fungsi Pergerakan Pemuda UMNO telah lama tempang, sehinggakan kewujudan Pemuda UMNO Malaysia, langsung tidak dirasai dan digeruni?

Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO, rasa-rasanya jawatan Menteri yang diidam-idamkannya tidak layak buatnya. Sebaliknya, Khairy Jamaluddin perlu membuktikan bahawa Pemuda UMNO yang diketuaina itu merupakan satu badan atau sayap yang benar-benar berkesan dan menjadi pemangkin kepada sokongan pengundi-pengundi muda untuk parti tersebut serta Barisan Nasional sendiri.

Apa yang berlaku pada PRU13 sebenarnya, amat mendukacitakan. Bukan Pergerakan Pemuda sahaja yang gagal, bahkan Pergerakan Puteri UMNO juga langsung pincang dan tidak mampu digerakkan dengan efektif.

Kalau sudah jawatan Ketua Pemuda pun, tidak mampu ditanggung dan dilaksanakan tanggungjawab serta amanahnya, bagaimana pula apabila Ketua Pemuda dilantik sebagai Menteri? Mampukah Ketua Pemuda UMNO memikul tanggungjawab-tanggungjawab tersebut?

Jangan hanya nanti, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran!

Sewajarnya Ketua Pemuda UMNO memberikan tumpuan kepada tugasnya yang utama berdasarkan apa yang diikrarkannya ketika bertanding untuk jawatan tersebut beberapa tahun lalu. Seharusnya juga, dia tidak memungkiri janjinya untuk tidak menjawat sebarang jawatan penting, selagi Pergerakan Pemuda UMNO gagal melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka.

Dalam keadaan sukar sekarang, gelagat yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaluddin sebenarnya lebih mudah dirujuk sebagai MEMENTINGKAN DIRI berbanding mementingkan parti padahal ketika berkempen, lain pula yang dicakapkan dan diikrarkan!!!

Kurangkan gelagat elit yang terpalit pada Pemuda UMNO, sebaliknya turunlah ke bawah dan dekatilah golongan pengundi muda kerana mereka inilah yang akan menentukan sama ada UMNO kekal relevan atau sebaliknya.

Atau barangkali Khairy sudah dapat melihat bahawa UMNO tidak akan lagi mendapat sokongan golongan muda pada PRU14 nanti sehinggakan dia terlupa yang dia adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia sekaligus membuatkan dia perlu menjadi Menteri?

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.