Nilai praktikal J Hijab

at Isnin, 20 Mei 2013 [ 1:11 PG ]

LAMBAKAN jenama dan rekaan tudung di pasaran membuatkan golongan Hawa yang berhijab di negara ini tidak kekeringan idea untuk bergaya. Pelbagai stail ditampilkan menerusi variasi tudung atau turban yang kini dicipta berpandukan peredaran fesyen semasa.

Namun, si pemakai perlu bijak memilih jenis dan warna tudung mengikut acara dan suasana. Sesetengah wanita lebih selesa memilih tudung rekaan ringkas dan dijual pada harga murah untuk dipakai ke pejabat, kuliah mahupun bersantai. Tudung dengan nilai eksklusif pula digayakan khusus ketika menghadiri acara rasmi seperti majlis perkahwinan atau majlis makan malam.

Pengenalan koleksi tudung J Hijab rekaan Jovian Mandagie secara tidak langsung membantu memenuhi keinginan wanita yang mencari hijab berfungsi praktikal. Menariknya, J Hijab yang hadir lebih 50 rekaan tudung dalam pelbagai warna menawan ideal digayakan dalam apa jua acara dan lokasi.

Tudung pelapik keras di bahagian hadapan (awning) dan selendang panjang potongan separuh bulan di bahagian belakang (half moon) menjadi pertaruhan J Hijab.

"Sakura merupakan koleksi utama dan pengenalan J Hijab. Ia direka secara half moon, menyelitkan elemen anggun (couture) dan dihasilkan dalam palet rona pastel. Signatur utamanya pula terletak pada perincian bunga sakura iaitu bunga berwarna merah jambu atau putih yang kembang pada awal musim panas di Jepun.

"Bagi menyesuaikan dengan iklim di Malaysia, material yang saya gunakan bagi koleksi J Hijab ini terdiri daripada likra, sifon dan satin," jelas Jovian yang turut memilih perincian manik kristal dan taburan bunga.

Tambah Jovian yang dilahirkan di Jakarta, Indonesia, setiap helaian tudung J Hijab dihasilkan dengan teliti dan kemas agar dapat menepati cita rasa wanita Muslimah hari ini.

"Koleksi tudung J Hijab dikeluarkan secara berperingkat dan bakal berada di pasaran pada pertengahan bulan Mei ini. Setiap rekaan terhad pada 20 hingga 50 helai sahaja," ujar Jovian pada majlis jualan koleksi pakaian tiga labelnya, J Luxe, Demi Couture dan J Hijab di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

 

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.