Memaparkan artikel dengan label Islam

Peperangan Badar

Alhamdulillah. Sedar tak sedar, dah 16 hari kita berpuasa. Lagi 14 hari kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Hari kemenangan setelah sebulan kita berpuasa. Besok, 17 Ramadhan adalah satu hari yang bersejarah bagi umat Islam. Apa yang menarik mengenai 17 Ramadhan ni??

17 Ramadhan adalah tarikh keramat perjuangan umat Islam mempertahankan agama Islam yang suci. Pada tarikh ini lah berlakunya Peperangan Badar. Bayangkan bagaimana keadaan tentera Islam pada ketika itu yang berjumlah 313 orang, berperang menentang tentera kafir Quraisy yang berjumlah 1000 orang dalam keadaan berpuasa. Rasanya semua dah tahu apa keputusan dalam peperangan tersebut tapi mungkin ramai yang tak tahu bagaimana Perang Badar bermula.

Kisahnya bermula apabila Rasulullah SAW membawa tenteranya seramai 313 orang untuk menghalang perjalanan kafilah Quraisy yang berjumlah 1000 orang termasuk tentera upahan. Pada masa itu, rombongan kafir Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan. Khafilah Abu Sufyan dilengkapi dengan 100 ekor unta, tenteranya lengkap berbaju besi dan bilangan unta yang sangat banyak. Sementara tentera Islam pula mempunyai 2 ekor kuda, 70 ekor unta dan hanya bersenjatakan pelepah tamar, cangkul, batang kayu dan batu.

Walaupun serba kekurangan, tentera Islam tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan yakin dengan perancangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW telah menghantar 2 orang dengan kuda sebagai pasukan meninjau bagi mengetahui di mana kedudukan tentera kafir Quraisy. Maklumat yang diperolehi membolehkan Rasulullah SAW dan para sahabat membuat perancangan. Perancangan awalnya ialah untuk menduduki Bukit Badar sebagai medan pertempuran. Namun, seorang sahabat telah mencadangkan agar dipindahkan kearah selatan yang mempunyai sumber air. Di sinilah kunci kemenangan Rasulullah SAW apabila tentera Islam menguasai punca air dan memutuskan punca air yang lain. Dengan ini tentera kafir Quraisy akan menjadi lemah kerana ketiadaan air.

Oleh kerana jumlah tentera kafir Quraisy jauh lebih besar berbanding tentera Islam, Rasulullah SAW telah berdoa kepada Allah SWT. Dalam doanya baginda berkata: “Ya Allah, jika Engkau binasakan pasukan ini (Islam) Engkau tak akan disembah lagi  dimuka bumi ini. Ya Allah penuhilah janjimu kepadaku. Ya Allah, berikanlah pertolonganmu”.

Kesudahannya cerita rasanya semua orang dah tahu. Tentera Islam mendapat kemenangan pertama di dalam pertempuran pertama mereka. Selain daripada kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam taktik peperangan, keimanan dan ketakwaan tentera Islam yang tidak gentar dengan jumlah tentera kafir yang ramai telah membantu dalam kemenangan ini. Disebabakn keimanan mereka kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah member bantuan kepada tentera Islam. Wahyu diturunkan ketika peperangan hendak bermula: ”Hai, Nabi! Kerahkanlah orang-orang Mu’min itu bertempur! Dua puluh orang Mu’min yang sabar, akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan seratus orang (Mu’min yang sabar) akan dapat mengalahkan seribu orang-orang kafir, kerana orang-orang kafir itu tidak mempunyai dasar yang teguh.”

Semoga kita mendapat pengajaran dan iktibar di bulan Ramadhan ini.

| | Read More »

Kekeliruan imsak dan akhir sahur

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, tahun ini kita masih lagi diizinkan untuk bertemu dengan Ramadan. Maka hendaklah Ramadan kali ini menjadi motivasi kepada kita dengan memanfaatkan segala kebaikan dan amal soleh seolah-olah inilah Ramadan kita yang terakhir.

Dan di antara kebaikan dan amal soleh dalam bulan Ramadan yang paling besar adalah melaksanakan ibadat puasa itu sendiri sesuai dengan sunah Nabi SAW. Apa yang dilakukan dan disuruh oleh Nabi dalam berpuasa itulah yang terbaik manakala yang tidak dilakukan oleh Nabi dan tidak disuruh itu bukanlah sunah baginda.

Semua orang Islam mengetahui bahawa puasa bermula dengan terbit matahari - masuk waktu Subuh dan berbuka selepas tenggelamnya matahari yakni masuk waktu Maghrib.

Namun, takrif puasa yang mudah difahami ini jika dilihat kebanyakan orang Islam yang berpuasa terdapat perbezaan praktikal dengan takrif puasa ini.

Tiada istilah imsak Misalnya, sudah menjadi kebiasaannya orang Islam hari ini imsak ketika bersahur iaitu berhenti 10 minit sebelum masuk waktu Subuh dan beriktikad pada tempoh masa 10 minit ini tidak boleh lagi menjamah makanan dan perlu berhenti serta-merta. Lebih parah lagi bersangka batal puasa seseorang seandainya masih makan dan minum dalam tempoh imsak ini.

Benarkah dakwaan ini? Apakah ada sandaran daripada Nabi? Pada pemahaman penulis, amalan imsak ini tidak menepati petunjuk dan sunah Nabi. Buktinya di antara sunah dan dianjurkan Nabi ketika bersahur untuk berpuasa adalah dengan melewatkan sahur seperti hadis Nabi yang bermaksud: “Tiga perkara adalah akhlak kenabian; mempercepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.” (Riwayat Al-Thabarani, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’, no. 3038) Dan ia dikuatkan lagi dengan hadis daripada Zaid yang ditanya oleh Anas kepadanya, bahawa Zaid mengatakan jarak Nabi dan sahabat, mereka bersahur sebelum waktu Subuh dalam tempoh 50 ayat al-Quran dibacakan. Hal ini seperti terkandung dalam hadis Zaid yang berbunyi: Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh).” Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama sahur antara azan dan sahur tersebut?” Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa tiada petunjuk daripada Nabi yang memberhentikan makan dan minum dalam tempoh tertentu sebelum masuk Subuh. Hal ini dibahaskan oleh Imam Ibnu Hajar di zamannya lagi dengan mengatakan: “Di antara bidaah yang mungkar ialah apa berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu Subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadan, di samping memadamkan pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu pada sangkaan mereka. Dengan ini mereka melewatkan berbuka dan mempercepatkan bersahur dan mereka menyalahi sunah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit dalam kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.” (Lihat Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Baari, 4/199) Azan ketika sahur Lebih jelas bukti yang menunjukkan tiadanya imsak dalam Islam ini walau apa sekalipun matlamatnya adalah hadis Nabi yang melarang seseorang berhenti ketika bersahur walaupun azan Subuh sudah berkumandang. Kata Nabi yang bermaksud: “Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas makanan di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai menghabiskan apa yang perlu.” (Riwayat Abu Daud, Dinilai hasan sahih oleh Syeikh al-Albani) Maka yang sahih dan menepati sunah bersahur untuk berpuasa ini adalah tiada waktu imsak. Berhentilah sebelum azan tanpa perlu dibataskan masa tertentu, itupun terdapat rukhsah dan keringanan sekiranya terdengar azan selesaikanlah makan dan minum barulah berhenti dan teruskan berpuasa. Yahudi lewatkan berbuka Ketika berbuka pula, disunahkan pula kita berbuka puasa dengan segera jangan melewatkannya seperti hadis Nabi yang berbunyi: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Hal ini kerana Islam adalah agama fitrah dan berbuka awal menepati fitrah insan di samping anjuran Nabi kepada umatnya untuk berbeza dengan orang Yahudi yang berpuasa akan melewatkan berbuka seperti perkataan Nabi dalam hadis yang lain: “Agama ini akan senantiasa menang selama manusia menyegerakan berbuka, kerana orang Yahudi dan Nasrani mengakhirkannya.” (Hadits Riwayat Abu Dawud 2/305, Ibnu Hibban 223, dengan sanad yang Hasan) Tetapi ada juga di sana segolongan manusia berasa warak kepada Allah dengan melewatkan berbuka puasa dan berasa hina jika berbuka awal seperti golongan Syiah yang sesat. Mereka suka melewatkan berbuka puasa menanti sehingga nampak bintang di langit padahal sahih daripada Nabi agar jangan berbuka sehingga kelihatan bintang di langit.

Kata Nabi yang bermaksud: “Umatku akan senantiasa dalam sunahku selama mereka tidak menunggu bintang ketika berbuka puasa.” (Hadits Riwayat Ibnu Hibban 891 dengan sanad sahih) Jadi yang terbaik adalah mengikut petunjuk dan sunah Nabi ketika berpuasa kerana berasa cukup dengan sunah itu adalah sebuah hidayah. Penulis lulusan Syariahh Fiqh dan Usul (UM) adalah Ketua Biro Massa Ilmuan Malaysia

| | Read More »

Petikan hadis tentang puasa Ramadhan

Petikan hadis-hadis mengenai puasa daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Kelebihan Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Kelebihan berpuasa

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun."

Akhlak sewaktu berpuasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa."
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)."

Kelebihan bersahur

Diriwayatkan daripada Anas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya."

Kelebihan menyegerakan berbuka

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."

Kelebihan Solat Tarawih dalam bulan Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan."

Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.

Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah."

Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub

Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah RA, kedua-duanya berkata: Nabi SAW bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa.

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa."

| | Read More »

Kepentingan Ibadah Puasa

Assalamu'alaikum wrh.
Ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah yang asas; asas untuk membina peribadi Muslim. Apa yang ada pada puasa hingga dipilih ALLAH untuk masuk senarai rukun Islam? Mula-mula orang yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada ALLAH dan Rasul: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH."
Pengakuan ini kemudian disuruh buktikan melalui sembahyang. Berbagai ikrar, janji dan harapan kita bisikkan kepada ALLAH sewaktu sembahyang demi membuktikan kita taat tunduk (rukuk dan sujud) kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita menyerah diri kepada ALLAH. Menajamkan rasa kehambaan di dalam hati dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.
Ibadah puasa jatuh nombor ketiga iaitu selepas ibadah sembahyang. Maksudnya, selepas membuat pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah aneh iaitu puasa. Kita tidak dibenarkan makan disiang hari selama sebulan sekalipun lapar dan makanan ada dihadapan mata. Ertinya ALLAH mahu mendidik kita untuk susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata. Bukankah itu aneh? Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia sebagai suatu penyiksaan dan bebanan lantaran itu berlalunya Ramadhan disambut dengan riang. Apa sebenarnya yang ALLAH kehendaki dari puasa?
Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan penting. Istilah kecewa atau frust lahir dari seseorang yang tidak dapat menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai. Dan kecewa adalah penyakit lumrah dalam masyarakat kini. Terkadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.
Dan ini akan terus berlaku sebab kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak taqdir ALLAH. ALLAH sudah tentukan bahawa tiap manusia itu akan diuji.
Tidak tahu sabar adalah suatu kekurangan yang merbahaya. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan yang meminta agar kita dapat berlaku sabar. Di dalam menunaikan perintah-perintah ALLAH, di dalam menghadapi musibah dan kesabaran yang paling utama adalah bersabar di dalam meninggalkan larangan-larangan ALLAH lahir dan bathin.
Imam Bukhari ketika bermunajat dengan ALLAH berbisik-bisik:- "Bukan aku tidak sabar dengan ujian-Mu ya ALLAH, cuma hendak mengadu pada Mu, tempat aku kembali nanti. Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah."
Begitulah seharusnya hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup. Mereka tunduk dan patuh kepada kehendak ALLAH kerana merasakan segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan ALLAH. Malah mereka memuji-muji ALLAH kerana Maha Bijaksana dan Maha Adil-Nya melakukan kejadian itu. Kalau ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
UNTUK TUJUAN INILAH PUASA ITU DIPERINTAHKAN. ALLAH TENTUKAN KEHIDUPAN DI DUNIA ADALAH PERGILIRAN NIKMAT DAN UJIAN. DAN KEBAHAGIAAN SEBENAR IALAH PADA MEREKA YANG BOLEH BERSYUKUR DAN BERSABAR. SEBAB ITU ALLAH MAHU DIDIK MANUSIA KE ARAH ITU.
Bila kita berpuasa bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana ALLAH, bukan kerana lain-lain. Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana
ALLAH.
Jiwa yang apabila berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah dan kegagalan akan tunduk dan sabar dengan ALLAH, kerana ALLAH. Kita boleh berikhtiar untuk elakkan kemalangan itu tapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah dan memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir dan kuasa ALLAH. Inilah jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan ALLAH dan sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah; "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga."
Kita berlindung dengan ALLAH daripada kerugian demikian.
Wassalam.

| | Read More »

Perkara yang membatalkan puasa dan pantang larang puasa

Membatalkan Puasa:

1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.

2) Muntah dengan sengaja.

3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.

4) Haid atau nifas.

5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).

6) Murtad (keluar dari Islam).

7) Gila (hilang akal).

Pantang-larang puasa:

Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

1) Berdusta, berbohong.

2) Mengumpat, mengata orang.

3) Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.

4) Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.

5) Marah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.

(Hadis menurut Sahih Muslim)

| | Read More »

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.